Assalammualaikum dan salam blogging semua,
Hari ini saya hendak kongsi satu isu yang kerap diperkatakan sekarang. Ini berkenaan difteria. Sebelum melangkau lebih lanjut, saya akan menjelaskan apa itu difteria agar rakan-rakan di luar sana dapat gambaran yang lebih jelas mengenai difteria ini.
Difteria diambil dari bahasa greek iaitu Diptheria. Difteria adalah jangkitan bakteria yang berpunca daripada Corynebacterium difteria (C. difteria). Penyakit ini menyerang bahagian atas mukosa saluran pernafasan dan kulit yang terluka. Difteria merupakan penyakit berjangkit yang tersebar dengan sentuhan fizikal langsung atau menghidu titisan pernafasan pesakit. Untuk pengetahuan semua, difteria adalah sejenis penyakit yang membawa maut.
Sejarah Difteria
- Pada 1878, anak Ratu Victoria, Puteri Alice dan keluarganya dijangkiti olehnya menyebabkan dua kematian, Puteri Marie dan Puteri Alice sendiri.
- Pada 1920-am terdapat sekitar 100,000 hingga 200,000 kes difteria setiap tahun di Amerika Syarikat, menyebabkan 13,000 hingga 15,000 kematian setiap tahun. Majoritinya adalah kanak-kanak.
- Pada tahun 1925, penghantaran serum pelalian ke Nome bagi penghantaran antitoksin diphtheria kini diraikan sebagai "Perlumbaan Agung Ehsan ("Great Race of Mercy")".
- Salah satu rawatan pertama yang berkesan bagi diphtheria dijumpai pada 1880-an oleh doktor U.S. Joseph O'Dwyer (1841–1898).
- Pada tahun 1884 Friedrich Loeffler menjumpai organisma punca (Corynebacterium diphtheriae.)
- Pada tahun 1890-an, doktor Jerman Emil von Behring membangunkan antitoksin yang tidak membunuh bakterium, tetapi meneuteralkan racun toksin yang dibebaskan oleh bakterium kedalam tubuh.
- Vaksin berjaya pertama bagi difteria dibangunkan pada tahun 1913 oleh Behring. Namun, antibiotik untuk difteria belum dijumpai.
- Ujian Schick, dicipta antara 1910 dan 1911, merupakan ujian bagi menentukan samaada seseorang lemah atau tidak kepada jangkitan difteria.
- Vaksin dibangunkan dalam dekad berikut, dan kematian mula menurun dengan banyaknya pada tahun 1924.
Tanda dan simptom
- Bentuk pernafasan memiliki tempoh pengeraman 2–5 hari.
- Lesu, demam, sakit kerongkong serdahana dan masaalah menelan ("Dysphagia").
- Kanak-kanak yang dijangkiti mengalami simptom yang termasuk mual, muntah, sejuk, dan demam yang tinggi, sungguhpun sesetengah tidak menunjukkan simptom sehingga jangkitan telah berkembang lanjut.
- Dalam 10% kes pesakit mengalami bengkak di bahagian leher, biasanya digelar "leher lembu/bull neck."
- Lesu, pucat, dan degupan jantung pantas ("Tachycardia").
- Tekanan darah rendah mungkin berlaku
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, vaksin untuk difteria termasuk dalam vaksin 5 serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenzae Type B. Menurutnya lagi, vaksin ini diberi seawal usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.
Vaksin tersebut merupakan satu-satunya cara mencegah penyakit difteria. Bersesuaian dengan ayat, "mencegah lebih baik daripada mengubati". Namun, apa yang dirisaukan oleh para ibu bapa adalah vaksin hanya disediakan/diutamakan pada bayi yang berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan. Bagaimana jika anak-anak mereka sudah melebihi 18 bulan?. Persoalan itu sering bermain di fikiran ibu bapa. Menurut artikel yang saya baca, vaksin ini seringkali kekurangan stok. Mungkin sebab itu, dihadkan umur kerana imunisasi bayi lebih rendah dari kanak-kanak biasa.
Walaupun begitu, ia tidak dapat mengurangkan kebimbangan apabila usia anaknya telah melebihi dari usia yang ditetapkan. Mungkin juga kanak-kanak yang lebih dari usia tersebut boleh mendapatkan vaksin. Ini cuma andaian saya sahaja. Setakat ini tiada kenyataan yang dikeluarkan. Para ibu bapa boleh bertanya sendiri kepada klinik-klinik kesihatan atau pakar-pakar.
Seandainya vaksin memang dituju khas buat kanak-kanak yang berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan, pihak kesihatan perlu mencari solusi bagi kanak-kanak yang melebihi had umur. Malah, orang dewasa juga terdedah kepada penyakit ini. Walaupun peluangnya tipis, namun ia dapat memberi harapan kepada semua pihak untuk terus berjuang melawan penyakit ini.
Akhir kata, musim perayaan bakal kunjung tiba. Jagalah diri dan pemakanan rakan-rakan. Bagi yang baru melahirkan anak, jagalah bayi anda. Cuba kurangkan bayi dipegang oleh orang lain. Imunisasi bayi sangat lemah. Oleh itu, peratusan untuk dijangkiti sangat tinggi. Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Assalammualaikum.
